Keputusan peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) tahun ini telah memeranjatkan banyak pihak. Ibubapa dan pelajar sangat terkejut dengan keputusan yang tidak dijangka. Jumlah pelajar yang meraih semua A juga menurun dengan ketara. Perbandingan segera
dibuat dengan peperiksaan Tingkatan 3 tahun-tahun sebelumnya iaitu Penilaian Menengah Rendah (PMR). Ini sangat adil kerana kaedah penilaian sangatlah berbeza. PT3 menekankan konsep penilaian berpusat dan pelaksanaan elemen kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) dalam soalan-soalan yang dikemukakan. Keputusan PT3 haruslah dipandang sebagai satu penanda aras baharu dalam lanskap pendidikan yang lebih dinamik dan komprehensif.
PT3 iaitu sebahagian komponen akademik di dalam Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS), menggunakan pelbagai instrumen lebih mencabar untuk mengukur penguasaaan pelajar mempersembahkan pelbagai kaedah menyelesaikan soalan. PBS diperkenalkan sebagai usaha untuk beralih daripada sistem berorientasikan peperiksaan. Pada masa lalu, banyak pihak mendesak supaya diwujudkan satu sistem yang kurang bergantung kepada peperiksaan; yang dikatakan boleh menjejaskan maruah diri pelajar tahap sederhana dalam jangka panjang. Kegagalan meraih keputusan cemerlang dalam peperiksaan disamakan dengan kegagalan dalam kehidupan. Tidak kurang juga tekanan yang dirasai oleh pelajar cemerlang untuk mengekalkan keputusan mereka. Pengenalan PBS adalah jawapan kepada desakan tersebut. Sudah tentu ia memerlukan kesabaran untuk melihat hasil pelaksanaannya.
Ibubapa seharusnya mengubah sikap dan pemikiran dengan menganggap segalanya sudah berakhir apabila anak-anak mereka kurang mendapat A dalam slip peperiksaan mereka. Peperiksaan hanyalah menilai tahap kefahaman apa yang telah dipelajari dan bukannya menanam rasa takut dalam hati mereka. Keputusan yang kurang bagus tidak bermakna mereka tidak menjadi orang berguna kepada masyarakat.
Para pelajar patut diingatkan agar belajar dengan tekun dan menduduki peperiksaan dengan sewajarnya. Jika keputusan mereka tidak mampu meraih A, ia harus diterima dengan hati terbuka memandangkan peperiksaan bukanlah satu-satunya kayu ukur untuk menilai pelajar. Tujuan utama menjadikan sistem ini kurang berorientasikan peperiksaan, adalah dengan mengurangkan kebergantungan kepada gred untuk menentukan prestasi akhir pelajar. Perubahan ini mencerminkan pembangunan pendidikan yang lebih holistik dengan mengambilkira prestasi akademik dan bukan akademik pelajar.
(petikan: NST, 28/12/14)